Wednesday 3 June 2015

Jalinan Masyarakat 3: Xplorasi Ibadah di Masjid Al-Islahiah, Kuang

Pada 31 Mei 2015 yang lalu, para pelajar Program Pengajian Islam dan Sains/Teknologi Maklumat telah mengadakan aktiviti Jalinan Masyarakat yang ketiga iaitu Eksplorasi Ibadah dengan kerjasama Masjid Al-Islahiah bertempat di Kuang, Selangor.


Program Eksplorasi Ibadah ini dibuka untuk peserta berumur 11-17. Tujuan Eksplorasi Ibadah ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta dalam memastikan ibadah yang berkaitan dengan solat, puasa, kesucian (thaharah) dan pengurusan jenazah dapat difahami dengan baik.

Dua minggu sebelum program berlangsung, kami telah membuka pendaftaran kepada pada peserta secara atas talian melalui Google forms bagi memudahkan masyarakat di sekitar Masjid Al-Islahiah untuk mendaftar awal. Kami juga menyiapkan poster program untuk mempromosikan program ini. Seramai 30 orang peserta telah mendaftar melalui pendaftaran online.

Pada jam 7.00 pagi 31 Mei 2015, kami bergerak menuju ke Masjid Al-Islahiah, Kuang dengan menaiki tujuh buah kereta. Tepat jam 7.50 pagi, kami tiba di Masjid dan mula membuka pendaftaran peserta seawal 8.00 pagi. Kami menyediakan pendaftaran baru bagi peserta yang tidak berkesempatan untuk mendaftar awal melalui borang online. Penyertaan peserta di luar jangkaan kerana pada awal pendaftaran online dibuka, hanya sekitar 30 orang peserta telah mendaftar. Namun begitu, jumlah peserta yang mendaftar pada hari kejadian setelah kaunter pendaftaran dibuka mencecah seramai 58 orang.

Aktiviti dimulakan dengan kata alu-aluan daripada pengerusi majlis dan Nazir Masjid Al-Islahiah, iaitu Haji Supandi Samin, Kemudian, acara diteruskan dengan membahagikan kumpulan peserta dan sesi taaruf ringkas yang dilakukan dengan bantuan fasilitator.

Seterusnya, program Eksplorasi Ibadah pun bermula. Aktiviti ini adalah merupakan pertandingan eksplorasi. Sebanyak tujuh checkpoint disediakan merangkumi ibadah solat, puasa, tajhiz jenazah, dan bersuci untuk menguji kefahaman peserta terhadap ibadah-ibadah tersebut. Para peserta juga diberikan modul mengenai ibadah terbabit supaya modul tersebut menjadi panduan kepada para peserta untuk memahami dan melaksanakan amal ibadah dengan sempurna.

Permainan Dam Ular di checkpoint PUASA
Perbincangan mengenai modul oleh fasilitator
Aktiviti di checkpoint WUDHU'
Aktiviti Puzzle di Checkpoint SOLAT BERJEMAAH
Penerangan oleh fasilitator
Praktikal solat jemaah
Checkpoint PENGURUSAN JENAZAH: Mandi
Checkpoint PENGURUSAN JENAZAH: Kafan & Solat
Menyusun bacaan Doa Qunut di checkpoint BACAAN SOLAT
Menyusun bacaan Doa Qunut di checkpoint BACAAN SOLAT


Penerangan fasilitator di checkpoint SOLAT
Di setiap checkpoint, peserta akan diuji dengan kefahaman sedia ada berupa aktiviti menjawab soalan/kuiz/permainan mengenai solat, praktikal ibadah dan sebagainya. Seusai melakukan aktiviti tersebut, para fasilitator yang menjaga checkpoint tersebut akan memberi penerangan yang jelas tentang ibadah tersebut dan membuat penilaian terhadap prestasi peserta semasa di checkpoint tersebut.. Bermacam-macacm aktiviti menarik disediakan di setiap checkpoint. Ada yang diajar cara rukuk yang betul, cara memandikan jenazah, cara bersuci dengan betul, dan banyak lagi. Setiap checkpoint diberi masa 20 minit untuk aktiviti dan pengisian ringkas oleh fasilitator.

Tepat jam 11.45 pagi, majlis penutup bermula. Haji Supandi Samin selaku Nazir Masjid Al-Islahiah mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian kami mengimarahkan aktiviti masjid dengan melaksanakan eksplorasi ibadah ini. Katanya, aktiviti sebegini sangat bermanfaat untuk masyarakat di sekitar khususnya kanak-kanak dan remaja supaya dapat mengenal, memahami dan mengamalkan ibadah dengan baik dan sempurna rukunnya. Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah serta sijil penyertaan kepada para peserta. Seterusnya majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh pihak kami kepada pihak masjid kerana sudi memberi peluang untuk kami melaksanakan aktiviti eksplorasi ibadah di masjid tersebut.

Pemberian cenderahati kepada pihak Masjid Al-Islahiah, Kuang
Peserta & Fasilitator Eksplorasi Ibadah: Lelaki
Peserta & Fasilitator Eksplorasi Ibadah: Perempuan

Seusai program tamat, semua pelajar dan fasilitator dihidangkan dengan makan tengahari yang disediakan oleh pihak masjid. Selepas waktu zohor, kami berkumpul di perkarangan masjid untuk melakukan post-moterm bagi aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut. Tepat jam 3.45 petang, program selesai dan kami pulang ke kampus bersama-sama.

---


Berdasarkan aktiviti Eksplorasi Ibadah yang dijalankan di Masjid Islahiyah, Kuang ini, apa yang kami dapat adalah cara berinteraksi dengan masyarakat. Masyarakat sekarang sangat dahagakan pengisian atau aktiviti yang berunsurkan kerohanian dan pembentukan jati diri. Sambutan yang sangat menggalakkan oleh masyarakat sekitar masjid dan penduduk kampung di sana memberi gambaran bahawa masyarakat memerlukan dan menyokong aktiviti yang membentuk diri anak-anak mereka agar mentaati Allah dan dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan sempurna. Harapan pihak Nazir masjid sendiri supaya aktiviti ini berterusan dalam membentuk masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja untuk belajar dan mengamalkan ibadah seharian dengan baik dan sempurna.

Saturday 16 May 2015

Jalinan Masyarakat 2: Road Tour ASIS ke SMK Tun Mamat

Pada 9 Mei 2015, kami (para pelajar Program Pengajian Islam dan Sains/Teknologi Maklumat) telah meneruskan lagi jalinan masyarakat kami. Kali ini kami ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat, Johor pula.

Perjalanan kami bermula dari petang Jumaat, 8 Mei 2015. Kami selamat tiba di SMK Tun Mamat pada waktu maghrib. Kami berehat seketika sebelum mengadakan sedikit sesi berkenalan antara fasilitator dan pelajar asrama SMK Tun Mamat selepas solat Isya'.

Selepas itu kami bersembang secara santai dengan mereka untuk membina jalinan yang lebih erat. Kami mengadakan sedikit permainan untuk merancakkan lagi suasana supaya para pelajar dan fasilitator tidak merasa kekok walaupun kali pertama berjumpa.



Selepas makan malam, kami semua bergerak ke asrama untuk merehatkan diri dan membuat persiapan untuk aktiviti pada keesokan harinya.

Aktiviti pada pagi 9 Mei dimulakan dengan senaman pagi di dataran berhadapan dewan makan asrama. Selepas sesi memanaskan badan, kami mengadakan sedikit senamrobik yang dikendalikan oleh para fasilitator sendiri. Aktiviti senam pagi ini berjalan dari jam 7.00 pagi sehingga jam 7.30 pagi.


Selepas sarapan pagi dan persiapan diri, aktiviti diteruskan lagi dengan sesi ice-breaking menerusi beberapa siri permainan.

Permainan 1: Nilai Diri

Dalam permainan ini, kami memberikan setiap seorang peserta replika wang yang diperbuat dari kertas. Nilai yang diberikan adalah berbeza-beza. Kemudian kami menetapkan jumlah nilai yang kami mahukan dan para peserta perlu bekerjasama dengan rakan-rakan mereka bagi mendapatkan jumlah yang diingini.

Daripada permainan 'Nilai Diri' ini, dapat disimpulkan bahawa setiap manusia mempunyai nilai tersendiri dan masing-masing ada sesuatu yang boleh disumbang apabila khidmatnya diperlukan. Nilai diri yang kecil bukanlah menandakan bahawa seseorang itu 'tidak berguna', dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat dilihat apabila kami meminta jumlah wang yang kecil, sebagai contoh, RM9.75, sudah pasti pemegang nilai RM10 mahupun RM50 pun tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mereka mempunyai nilai yang tinggi.

Aktiviti ini diadakan bagi mendidik para pelajar mengenai nilai yang ada dalam diri masing-masing supaya mereka tidak terlalu merendah diri apabila merasakan diri mereka tidak bernilai dan tidak juga meninggi diri apabila mereka mempunyai kelebihan yang pelbagai.

The Chosen One: Insan-insan terpilih
Permainan 2: The Chosen One

Cara permainan The Chosen One ini dijalankan adalah dengan meminta setiap kumpulan menghantar wakil yang memenuhi kriteria yang kami sebutkan. Sebagai contoh, kami meminta mereka untuk menghantar ahli kumpulan yang paling 'comel', kemudian diadakan penilaian melalui tepukan untuk siapa yang paling gemuruh. Kemudian, kami meminta mereka menghantar ahli kumpulan yang memakai cermin mata. Ada juga yang kami minta untuk menghantar ahli yang paling tinggi dalam kumpulan.

Aktiviti ini lebih kurang sama dengan objektif aktiviti nilai diri iaitu menghargai baik dan buruk yang ada pada diri sendiri. Objektif ini lebih tertumpu kepada sifat seperti 'memakai cermin mata' yang dianggap merupakan sebuah kekurangan yang ada pada diri seseorang kerana mereka memerlukan cermin mata sebagai satu alat untuk mebantu penglihatan.

Jadi, apabila kami meminta mereka tampil ke hadapan, mereka akan merasakan diri mereka, walaupun mempunyai kecacatan/kekurangan, tetapi ada kesannya pada kumpulan mereka. Dan bagi kumpulan yang tidak ada seorang pun yang memakai cermin mata, mereka dikira kalah dan ini bagi mendidik mereka supaya menghargai setiap orang di sekeliling mereka tanpa mengira fizikal atau kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap individu.

Saudari Liyana Syamimi mengendalikan game 'The Chosen One'
Permainan 3: Masam-masam Manis

'Masam Manis Kehidupan'
Permainan 'Masam-masam Manis' ini adalah pertandingan makan di mana setiap kumpulan diberi sepinggan makanan yang mempunyai rasa manis (wafer coklat), masam (tomato, buah oren serta asam) dan tawar (timun). Mereka juga diberi sebotol air sebagai satu langkah keselamatan sekiranya ada yang tersedak atau tercekik. Sepanjang permainan ini berjalan, para peserta tidak boleh menggunakan tangan masing-masing, sebaliknya mereka perlu bersuap-suapan antara satu sama lain.

Objektif permainan ini adalah sebagai sebuah analogi kepada hubungan sesama manusia, atau lebih tepat lagi - persahabatan. Permainan ini juga ingin menunjukkan bahawa kehidupan yang kita lalui ada pasang surutnya, ada masam manisnya. Jika dilihat dari aspek persahabatan, kami ingin menyampaikan kepada mereka bahawa dalam bersahabat, di samping kegembiraan bersama, pasti ada saat yang terluka, akan timbul salah faham. Maka hadapilah perkara tersebut dengan berlapang dada.


Adegan suap-menyuap pula menggambarkan apa yang kita beri pada rakan kita. Adakah kita mengharap kawan kita menyuapkan kita makanan yang sedap sahaja (perkara baik), namun pada masa yang sama kita membalas dengan makanan yang masam atau tawar? (perkara yang buruk)

Fikir-fikirkan..



Permainan 4: Wehdatul Amal (Kesatuan Kerja)

Aktiviti yang terakhir ini lebih berfokus kepada aspek kempimpinan dan kerjasama antara satu sama lain. dalam permainan ini, kesemua peserta dibahagikan kepada dua kelompok yang besar, dan setiap kelompok mempunyai empat pasukan. setiap pasukan akan memegang tali dari satu sudut, dan mereka harus memegang tali tersebut menggunakan mulut! Ketua setiap pasukan akan berada di hadapan bagi memberi panduan kepada kumpulan masing-masing. Keempat-empat pasukan dalam setiap kelompok itu perlu bekerjasama memasukkan sebatang marker ke dalam sebuah botol.

Selain membina kepercayaan dan patuh kepada arahan ketua, permainan ini juga diharapkan dapat membantu mereka memahami kepentingan kerjasama antara pasukan yang berbeza.

Walaupun pada mulanya, aktiviti ini hampir tidak dapat dijalankan kerana tali telah bersimpul, akan tetapi, masalah tersebut dapat diselesaikan dan permainan ini pun dapat diadakan dengan jayanya. :)




[Antara permainan yang kami adakan ini, sebahagiannya (permainan 'Masam-masam Manis' dan 'Wehdatul Amal') sebenarnya diilhamkan daripada permainan yang pernah kami main dalam program "Hok Alohh" semasa peringkat asasi di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri.]

Selepas minum pagi, program diteruskan lagi dengan acara dewan iaitu slot perkongsian bersama fasilitator. Slot pertama dikendalikan oleh saudara Amir Syauqi, berkisar mengenai sejarah kejayaan Islam serta tips-tips pembelajaran dan perkongsian pengalaman.

Bercerita mengenai kisah kejayaan umat Islam terdahulu
Saudara Amir Syauqi sedang berkongsi pengalamannya yang pernah gagal ketika zaman sekolah dan bagaimana tips belajar yang berkesan.
Slot seterusnya dikendalikan oleh dua orang fasilitator, iaitu saudari Siti Rohani dan saudari Hamizah. Mereka berdua berkongsi kisah antara kaitan Islam dan Sains, dan bagaimanakah kedua-dua ini saling berkait.


Kemudian, tibalah giliran Dr Wan Adli Wan Ramli bagi sesi penerangan mengenai Universiti Malaya, serta kursus-kursus yang ditawarkan di Akademi Pengajian Islam.
Kemudian, kami berehat seketika sebelum menyambung semula ke acara penutupan majlis.

Penerangan ringkas mengenai UM dan APIUM oleh Dr Wan Adli
Program ini mendapat komen yang positif daripada pihak sekolah dan para peserta sendiri. Kami juga sangat gembira kerana dapat menjalin hubungan mesra dengan para pelajar SMK Tun Mamat. Pihak sekolah juga berharap agar keterikatan sekolah dan Universiti Malaya dapat diteruskan pada masa akan datang.

Program berakhir dengan lancar dan kami bersiap-siap untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3.00 petang, Sebelum pulang, kami sempat singgah di Air Terjun Gunung Ledang dan melawat rumah salah seorang pelajar program kami. Kami tiba di Kuala Lumpur dengan selamat kira-kira jam 12.00 tengah malam.

Kami sangat menghargai dan menikmati peluang yang dapat kami ambil untuk melibatkan diri bersama masyarakat seperti pelajar sekolah, dan guru-guru. Di samping dapat menjalin hubungan baik dengan pihak sekolah dan pelajar, kami juga banyak belajar selok belok dalam menguruskan program dan memahami protokol-protokol majlis melalui program-program yang kami adakan di bawah subjek Jalinan Masyarakat ini.

Semoga segala ilmu dan pengalaman yang kami dapati ini akan diberkati dan berguna sepanjang hayat.

:)

Friday 10 April 2015

Jalinan Masyarakat 1: Bersama PKPIM

Pada 20 Mac 2015 yang lalu, para pelajar Program Pengajian Islam dan Sains/Teknologi Maklumat telah mengadakan aktiviti Jalinan Masyarakat yang pertama iaitu Perkampungan Menara Gading dengan kerjasama PKPIM.

Pada jam 11 pagi, kami menyambut kunjungan dari peserta Perkampungan Menara Gading di Akademi Pengajian Islam dan membawa mereka ke Cube (Balai Ilmu) untuk aktiviti seterusnya.

Aktiviti dimulakan dengan kata alu-aluan daripada pengerusi majlis dan Timbalan Pengarah Ijazah Dasar, Prof Madya Dr Ruzman bin Md Nor. Kemudian, acara diteruskan dengan penerangan dan sesi soal jawab mengenai program Pengajian Islam dan Sains/Tekmologi Maklumat yang disampaikan oleh Dr Wan Adli bin Wan Ramli selaku pemangku penyelaras program kami.

Ucapan Timbalan Pengarah Ijazah Dasar
Aktiviti diteruskan lagi dengan sesi perkongsian mengenai pengalaman dari pelajar program kami, bertujuan untuk memberi gambaran dan mengeratkan lagi hubungan interaksi dua hala antara pelajar program dan peserta.

Seusai perkongsian dan sembang santai, pelajar dan peserta dijemput untuk makan tengahari dan menunaikan solat Zohor. memandangkan program diadakan pada hari Jumaat, maka warga muslimin menunaikan solat Jumaat di surau Akademi Pengajian Islam, manakala warga muslimat menunaikan solat Zohor secara berjemaah di BS26.

Berikut adalah gambar-gambar sekitar aktiviti Jalinan Masyarakat kami:

Ketibaan peserta

Penerangan oleh Dr Wan Adli
Aktiviti Perkongsian
Pelajar Program Pengajian Islam dan Sains/Teknologi Maklumat bergambar bersama peserta Program Perkampungan Menara Gading