Wednesday 3 June 2015

Jalinan Masyarakat 3: Xplorasi Ibadah di Masjid Al-Islahiah, Kuang

Pada 31 Mei 2015 yang lalu, para pelajar Program Pengajian Islam dan Sains/Teknologi Maklumat telah mengadakan aktiviti Jalinan Masyarakat yang ketiga iaitu Eksplorasi Ibadah dengan kerjasama Masjid Al-Islahiah bertempat di Kuang, Selangor.


Program Eksplorasi Ibadah ini dibuka untuk peserta berumur 11-17. Tujuan Eksplorasi Ibadah ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan awal kepada para peserta dalam memastikan ibadah yang berkaitan dengan solat, puasa, kesucian (thaharah) dan pengurusan jenazah dapat difahami dengan baik.

Dua minggu sebelum program berlangsung, kami telah membuka pendaftaran kepada pada peserta secara atas talian melalui Google forms bagi memudahkan masyarakat di sekitar Masjid Al-Islahiah untuk mendaftar awal. Kami juga menyiapkan poster program untuk mempromosikan program ini. Seramai 30 orang peserta telah mendaftar melalui pendaftaran online.

Pada jam 7.00 pagi 31 Mei 2015, kami bergerak menuju ke Masjid Al-Islahiah, Kuang dengan menaiki tujuh buah kereta. Tepat jam 7.50 pagi, kami tiba di Masjid dan mula membuka pendaftaran peserta seawal 8.00 pagi. Kami menyediakan pendaftaran baru bagi peserta yang tidak berkesempatan untuk mendaftar awal melalui borang online. Penyertaan peserta di luar jangkaan kerana pada awal pendaftaran online dibuka, hanya sekitar 30 orang peserta telah mendaftar. Namun begitu, jumlah peserta yang mendaftar pada hari kejadian setelah kaunter pendaftaran dibuka mencecah seramai 58 orang.

Aktiviti dimulakan dengan kata alu-aluan daripada pengerusi majlis dan Nazir Masjid Al-Islahiah, iaitu Haji Supandi Samin, Kemudian, acara diteruskan dengan membahagikan kumpulan peserta dan sesi taaruf ringkas yang dilakukan dengan bantuan fasilitator.

Seterusnya, program Eksplorasi Ibadah pun bermula. Aktiviti ini adalah merupakan pertandingan eksplorasi. Sebanyak tujuh checkpoint disediakan merangkumi ibadah solat, puasa, tajhiz jenazah, dan bersuci untuk menguji kefahaman peserta terhadap ibadah-ibadah tersebut. Para peserta juga diberikan modul mengenai ibadah terbabit supaya modul tersebut menjadi panduan kepada para peserta untuk memahami dan melaksanakan amal ibadah dengan sempurna.

Permainan Dam Ular di checkpoint PUASA
Perbincangan mengenai modul oleh fasilitator
Aktiviti di checkpoint WUDHU'
Aktiviti Puzzle di Checkpoint SOLAT BERJEMAAH
Penerangan oleh fasilitator
Praktikal solat jemaah
Checkpoint PENGURUSAN JENAZAH: Mandi
Checkpoint PENGURUSAN JENAZAH: Kafan & Solat
Menyusun bacaan Doa Qunut di checkpoint BACAAN SOLAT
Menyusun bacaan Doa Qunut di checkpoint BACAAN SOLAT


Penerangan fasilitator di checkpoint SOLAT
Di setiap checkpoint, peserta akan diuji dengan kefahaman sedia ada berupa aktiviti menjawab soalan/kuiz/permainan mengenai solat, praktikal ibadah dan sebagainya. Seusai melakukan aktiviti tersebut, para fasilitator yang menjaga checkpoint tersebut akan memberi penerangan yang jelas tentang ibadah tersebut dan membuat penilaian terhadap prestasi peserta semasa di checkpoint tersebut.. Bermacam-macacm aktiviti menarik disediakan di setiap checkpoint. Ada yang diajar cara rukuk yang betul, cara memandikan jenazah, cara bersuci dengan betul, dan banyak lagi. Setiap checkpoint diberi masa 20 minit untuk aktiviti dan pengisian ringkas oleh fasilitator.

Tepat jam 11.45 pagi, majlis penutup bermula. Haji Supandi Samin selaku Nazir Masjid Al-Islahiah mengucapkan jutaan terima kasih atas kesudian kami mengimarahkan aktiviti masjid dengan melaksanakan eksplorasi ibadah ini. Katanya, aktiviti sebegini sangat bermanfaat untuk masyarakat di sekitar khususnya kanak-kanak dan remaja supaya dapat mengenal, memahami dan mengamalkan ibadah dengan baik dan sempurna rukunnya. Acara diteruskan dengan penyampaian hadiah serta sijil penyertaan kepada para peserta. Seterusnya majlis diakhiri dengan penyampaian cenderahati oleh pihak kami kepada pihak masjid kerana sudi memberi peluang untuk kami melaksanakan aktiviti eksplorasi ibadah di masjid tersebut.

Pemberian cenderahati kepada pihak Masjid Al-Islahiah, Kuang
Peserta & Fasilitator Eksplorasi Ibadah: Lelaki
Peserta & Fasilitator Eksplorasi Ibadah: Perempuan

Seusai program tamat, semua pelajar dan fasilitator dihidangkan dengan makan tengahari yang disediakan oleh pihak masjid. Selepas waktu zohor, kami berkumpul di perkarangan masjid untuk melakukan post-moterm bagi aktiviti yang dijalankan pada hari tersebut. Tepat jam 3.45 petang, program selesai dan kami pulang ke kampus bersama-sama.

---


Berdasarkan aktiviti Eksplorasi Ibadah yang dijalankan di Masjid Islahiyah, Kuang ini, apa yang kami dapat adalah cara berinteraksi dengan masyarakat. Masyarakat sekarang sangat dahagakan pengisian atau aktiviti yang berunsurkan kerohanian dan pembentukan jati diri. Sambutan yang sangat menggalakkan oleh masyarakat sekitar masjid dan penduduk kampung di sana memberi gambaran bahawa masyarakat memerlukan dan menyokong aktiviti yang membentuk diri anak-anak mereka agar mentaati Allah dan dapat melaksanakan ibadah dengan baik dan sempurna. Harapan pihak Nazir masjid sendiri supaya aktiviti ini berterusan dalam membentuk masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja untuk belajar dan mengamalkan ibadah seharian dengan baik dan sempurna.