Saturday 16 May 2015

Jalinan Masyarakat 2: Road Tour ASIS ke SMK Tun Mamat

Pada 9 Mei 2015, kami (para pelajar Program Pengajian Islam dan Sains/Teknologi Maklumat) telah meneruskan lagi jalinan masyarakat kami. Kali ini kami ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Mamat, Johor pula.

Perjalanan kami bermula dari petang Jumaat, 8 Mei 2015. Kami selamat tiba di SMK Tun Mamat pada waktu maghrib. Kami berehat seketika sebelum mengadakan sedikit sesi berkenalan antara fasilitator dan pelajar asrama SMK Tun Mamat selepas solat Isya'.

Selepas itu kami bersembang secara santai dengan mereka untuk membina jalinan yang lebih erat. Kami mengadakan sedikit permainan untuk merancakkan lagi suasana supaya para pelajar dan fasilitator tidak merasa kekok walaupun kali pertama berjumpa.



Selepas makan malam, kami semua bergerak ke asrama untuk merehatkan diri dan membuat persiapan untuk aktiviti pada keesokan harinya.

Aktiviti pada pagi 9 Mei dimulakan dengan senaman pagi di dataran berhadapan dewan makan asrama. Selepas sesi memanaskan badan, kami mengadakan sedikit senamrobik yang dikendalikan oleh para fasilitator sendiri. Aktiviti senam pagi ini berjalan dari jam 7.00 pagi sehingga jam 7.30 pagi.


Selepas sarapan pagi dan persiapan diri, aktiviti diteruskan lagi dengan sesi ice-breaking menerusi beberapa siri permainan.

Permainan 1: Nilai Diri

Dalam permainan ini, kami memberikan setiap seorang peserta replika wang yang diperbuat dari kertas. Nilai yang diberikan adalah berbeza-beza. Kemudian kami menetapkan jumlah nilai yang kami mahukan dan para peserta perlu bekerjasama dengan rakan-rakan mereka bagi mendapatkan jumlah yang diingini.

Daripada permainan 'Nilai Diri' ini, dapat disimpulkan bahawa setiap manusia mempunyai nilai tersendiri dan masing-masing ada sesuatu yang boleh disumbang apabila khidmatnya diperlukan. Nilai diri yang kecil bukanlah menandakan bahawa seseorang itu 'tidak berguna', dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat dilihat apabila kami meminta jumlah wang yang kecil, sebagai contoh, RM9.75, sudah pasti pemegang nilai RM10 mahupun RM50 pun tidak dapat berbuat apa-apa walaupun mereka mempunyai nilai yang tinggi.

Aktiviti ini diadakan bagi mendidik para pelajar mengenai nilai yang ada dalam diri masing-masing supaya mereka tidak terlalu merendah diri apabila merasakan diri mereka tidak bernilai dan tidak juga meninggi diri apabila mereka mempunyai kelebihan yang pelbagai.

The Chosen One: Insan-insan terpilih
Permainan 2: The Chosen One

Cara permainan The Chosen One ini dijalankan adalah dengan meminta setiap kumpulan menghantar wakil yang memenuhi kriteria yang kami sebutkan. Sebagai contoh, kami meminta mereka untuk menghantar ahli kumpulan yang paling 'comel', kemudian diadakan penilaian melalui tepukan untuk siapa yang paling gemuruh. Kemudian, kami meminta mereka menghantar ahli kumpulan yang memakai cermin mata. Ada juga yang kami minta untuk menghantar ahli yang paling tinggi dalam kumpulan.

Aktiviti ini lebih kurang sama dengan objektif aktiviti nilai diri iaitu menghargai baik dan buruk yang ada pada diri sendiri. Objektif ini lebih tertumpu kepada sifat seperti 'memakai cermin mata' yang dianggap merupakan sebuah kekurangan yang ada pada diri seseorang kerana mereka memerlukan cermin mata sebagai satu alat untuk mebantu penglihatan.

Jadi, apabila kami meminta mereka tampil ke hadapan, mereka akan merasakan diri mereka, walaupun mempunyai kecacatan/kekurangan, tetapi ada kesannya pada kumpulan mereka. Dan bagi kumpulan yang tidak ada seorang pun yang memakai cermin mata, mereka dikira kalah dan ini bagi mendidik mereka supaya menghargai setiap orang di sekeliling mereka tanpa mengira fizikal atau kelebihan dan kekurangan yang ada pada setiap individu.

Saudari Liyana Syamimi mengendalikan game 'The Chosen One'
Permainan 3: Masam-masam Manis

'Masam Manis Kehidupan'
Permainan 'Masam-masam Manis' ini adalah pertandingan makan di mana setiap kumpulan diberi sepinggan makanan yang mempunyai rasa manis (wafer coklat), masam (tomato, buah oren serta asam) dan tawar (timun). Mereka juga diberi sebotol air sebagai satu langkah keselamatan sekiranya ada yang tersedak atau tercekik. Sepanjang permainan ini berjalan, para peserta tidak boleh menggunakan tangan masing-masing, sebaliknya mereka perlu bersuap-suapan antara satu sama lain.

Objektif permainan ini adalah sebagai sebuah analogi kepada hubungan sesama manusia, atau lebih tepat lagi - persahabatan. Permainan ini juga ingin menunjukkan bahawa kehidupan yang kita lalui ada pasang surutnya, ada masam manisnya. Jika dilihat dari aspek persahabatan, kami ingin menyampaikan kepada mereka bahawa dalam bersahabat, di samping kegembiraan bersama, pasti ada saat yang terluka, akan timbul salah faham. Maka hadapilah perkara tersebut dengan berlapang dada.


Adegan suap-menyuap pula menggambarkan apa yang kita beri pada rakan kita. Adakah kita mengharap kawan kita menyuapkan kita makanan yang sedap sahaja (perkara baik), namun pada masa yang sama kita membalas dengan makanan yang masam atau tawar? (perkara yang buruk)

Fikir-fikirkan..



Permainan 4: Wehdatul Amal (Kesatuan Kerja)

Aktiviti yang terakhir ini lebih berfokus kepada aspek kempimpinan dan kerjasama antara satu sama lain. dalam permainan ini, kesemua peserta dibahagikan kepada dua kelompok yang besar, dan setiap kelompok mempunyai empat pasukan. setiap pasukan akan memegang tali dari satu sudut, dan mereka harus memegang tali tersebut menggunakan mulut! Ketua setiap pasukan akan berada di hadapan bagi memberi panduan kepada kumpulan masing-masing. Keempat-empat pasukan dalam setiap kelompok itu perlu bekerjasama memasukkan sebatang marker ke dalam sebuah botol.

Selain membina kepercayaan dan patuh kepada arahan ketua, permainan ini juga diharapkan dapat membantu mereka memahami kepentingan kerjasama antara pasukan yang berbeza.

Walaupun pada mulanya, aktiviti ini hampir tidak dapat dijalankan kerana tali telah bersimpul, akan tetapi, masalah tersebut dapat diselesaikan dan permainan ini pun dapat diadakan dengan jayanya. :)




[Antara permainan yang kami adakan ini, sebahagiannya (permainan 'Masam-masam Manis' dan 'Wehdatul Amal') sebenarnya diilhamkan daripada permainan yang pernah kami main dalam program "Hok Alohh" semasa peringkat asasi di Akademi Pengajian Islam, Nilam Puri.]

Selepas minum pagi, program diteruskan lagi dengan acara dewan iaitu slot perkongsian bersama fasilitator. Slot pertama dikendalikan oleh saudara Amir Syauqi, berkisar mengenai sejarah kejayaan Islam serta tips-tips pembelajaran dan perkongsian pengalaman.

Bercerita mengenai kisah kejayaan umat Islam terdahulu
Saudara Amir Syauqi sedang berkongsi pengalamannya yang pernah gagal ketika zaman sekolah dan bagaimana tips belajar yang berkesan.
Slot seterusnya dikendalikan oleh dua orang fasilitator, iaitu saudari Siti Rohani dan saudari Hamizah. Mereka berdua berkongsi kisah antara kaitan Islam dan Sains, dan bagaimanakah kedua-dua ini saling berkait.


Kemudian, tibalah giliran Dr Wan Adli Wan Ramli bagi sesi penerangan mengenai Universiti Malaya, serta kursus-kursus yang ditawarkan di Akademi Pengajian Islam.
Kemudian, kami berehat seketika sebelum menyambung semula ke acara penutupan majlis.

Penerangan ringkas mengenai UM dan APIUM oleh Dr Wan Adli
Program ini mendapat komen yang positif daripada pihak sekolah dan para peserta sendiri. Kami juga sangat gembira kerana dapat menjalin hubungan mesra dengan para pelajar SMK Tun Mamat. Pihak sekolah juga berharap agar keterikatan sekolah dan Universiti Malaya dapat diteruskan pada masa akan datang.

Program berakhir dengan lancar dan kami bersiap-siap untuk bertolak pulang ke Kuala Lumpur sekitar jam 3.00 petang, Sebelum pulang, kami sempat singgah di Air Terjun Gunung Ledang dan melawat rumah salah seorang pelajar program kami. Kami tiba di Kuala Lumpur dengan selamat kira-kira jam 12.00 tengah malam.

Kami sangat menghargai dan menikmati peluang yang dapat kami ambil untuk melibatkan diri bersama masyarakat seperti pelajar sekolah, dan guru-guru. Di samping dapat menjalin hubungan baik dengan pihak sekolah dan pelajar, kami juga banyak belajar selok belok dalam menguruskan program dan memahami protokol-protokol majlis melalui program-program yang kami adakan di bawah subjek Jalinan Masyarakat ini.

Semoga segala ilmu dan pengalaman yang kami dapati ini akan diberkati dan berguna sepanjang hayat.

:)

No comments:

Post a Comment