Friday 10 August 2012

Our First Programme - FIFA

FIFA – Fight Israel Free Al-Aqsa / ضدّ اليهود فلاح فلسطين


Pada 8 Ogos 2012 yang lalu, Sahabat APIDS dengan kerjasama drpd Aman Palestin Berhad telah mengadakan Program FIFA sempena Ihya’ Ramadhan di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Nilam Puri.

Antara agenda yang diadakan ialah pelancaran tabung Aman Palestin yang telah digerakkan bermula 5 Ogos dan berakhir pada 14 Ogos bersamaan tarikh penutup program Sham’un / شهر المغفرة والعبادة 2012.

Walaupun kami mengalami sedikit huru-hara dan kelam-kabut sewaktu mengadakan persiapan memandangkan jadual kuliah yang agak padat dan beberapa kesulitan lain yang tidak dapat dielakkan, Alhamdulillah, kami dapat mengatasinya dengan baik.

Program FIFA dimulakan sebaik sahaja selesai solat Isya’ dan Tarawih berjemaah. Program yang bertempat di Dewan Johor ini mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada para siswa dan siswi APIUM.

Program dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi Majlis merangkap Presiden APIDS – Muhammad Amir Syauqi bin Mad Sukri diikuti dengan bacaan doa oleh saudara Abdul Muadz bin Azhari. Kemudian, majlis diteruskan dengan ucapan Pengarah FIFA – Muhammad Ridzuan bin Dolah. Majlis ini telah dirasmikan oleh Timbalan Pengarah APIUM – Prof Madya Dr Mohd Muhideen bin Abd Rahman. Selepas itu, kami menyajikan hadirin dengan sedikit tayangan video ringkas sebagai pengenalan kepada program FIFA supaya para hadirin dapat memahami objektif program ini diadakan.

Seterusnya, bermulalah agenda utama program ini iaitu ceramah mengenai Isu Palestin yang disampaikan oleh penceramah jemputan – Ustaz Mohd Azrin bin Samsudin yang bertugas sebagai Pegawai Pemasaran Aman Palestin Berhad. Beliau turut memegang jawatan sosial sebagai Perunding Aman Palestin dan Penceramah Isu-isu Palestin selain bertugas sebagai Jawatankuasa Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Shah Alam.

Selain ceramah, jualan dan pameran turut diadakan di ruang legar di hadapan Dewan Johor. Jualan yang diadakan bertujuan bagi mendapatkan dana untuk disalurkan sebagai bantuan kepada saudara-saudara muslimin di Palestin. Jualan dan Pameran juga dilanjutkan sehingga 14 Ogos bagi memberi peluang kepada siswa dan siswi untuk menyumbang lebih banyak kepada saudara-saudara Palestin.

Sebaik selesai ceramah pada malam itu, pelajar ikhwah APIDS mengambil kesempatan untuk bergambar kenangan bersama semua tetamu jemputan. Turut diadakan sesi fotografi APIDS bagi mengenang program formal pertama yang dikendalikan oleh APIDS di mana ia melibatkan seluruh warga APIUM Nilam Puri.
Kami juga menikmati saat-saat akhir program dengan menjamah sedikit jamuan bersama-sama.

Sememangnya program FIFA ini merupakan satu cabaran dan pengalaman bagi kami. Selain itu, ia juga telah berjaya mengeratkan lagi ukhuwwah sesama sahabat APIDS. Kami berharap agar sebarang kelemahan kami sepanjang program ini dapat diberi penambahbaikan pada masa akan datang.

#tidak sabar menanti Seminar Falak – cabaran seterusnya buat sahabat APIDS ! :D

ikhwah APIDS
akhowat APIDS
    

No comments:

Post a Comment